MENU
 
MPS PERKUKUH BUDAYA INTEGRITI MELALUI LAWATAN PENANDA ARAS KE MBPP

MPS PERKUKUH BUDAYA INTEGRITI MELALUI LAWATAN PENANDA ARAS KE MBPP

15 Oktober 2025 | Pulau Pinang

Bagi memperkukuh kerjasama strategik serta meninjau amalan terbaik dalam pengurusan integriti dan tadbir urus, Unit Integriti Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Lawatan ini diketuai oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS, bersama delegasi daripada Unit Integriti dan Ahli Jawatankuasa Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) MPS.

Delegasi MPS telah disambut oleh Encik Rafat bin Abdullah, Ketua Unit Integriti MBPP, yang turut menyampaikan taklimat mengenai pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) dan pendekatan digital MBPP dalam pengurusan risiko integriti.

Dalam taklimat tersebut, MBPP turut berkongsi amalan terbaik seperti pelaksanaan platform eCIG, pemantauan risiko rasuah secara berkala, integrasi pelbagai sistem pengurusan termasuk QMS, ABMS, ESG dan OSHMS, serta pengukuhan kawalan dalaman melalui ujian urin dan audit disiplin. MBPP juga memperkenalkan inisiatif pendigitalan perkhidmatan menerusi PEARL App dan Smart Counter.

Lawatan ini memberi peluang kepada MPS untuk memperoleh pandangan dan pengetahuan baharu dalam memperkasakan budaya integriti serta meningkatkan keberkesanan tadbir urus organisasi.

MPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MBPP atas sambutan mesra dan perkongsian ilmu tersebut. MPS turut berharap hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuh demi mempertingkatkan budaya integriti dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Event Date: 
Rabu, 15 Oktober 2025 - 9:00am