MENU
 
KURSUS ASAS SEWAAN PREMIS MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG BIL. 3-2025

KURSUS ASAS SEWAAN PREMIS MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG BIL. 3/2025

30 September 2025 | Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Kursus Asas Sewaan Premis Bil. 3/2025 pada 30 September 2025 bertempat di Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong.

Seramai 80 peserta yang merupakan penyewa premis MPS telah menyertai kursus ini. Penganjuran kursus bertujuan memberikan penerangan terperinci mengenai tatacara penyewaan premis milik MPS serta meningkatkan kefahaman peserta terhadap aspek pengurusan sewaan secara menyeluruh. Turut hadir ialah pegawai daripada Jabatan Pelesenan, Perbendaharaan serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) MPS.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Pn. Sr. Fazlin Mariam binti Mustafa, Timbalan Pengarah JPPH, sebelum diteruskan dengan sesi taklimat oleh pegawai kanan jabatan berkaitan. Antara pengisian yang dibentangkan termasuklah pengurusan kewangan perniagaan, pelesenan, pengurusan sisa pepejal, serta kebersihan premis. Selain itu, sesi perkongsian pengalaman daripada penyewa berjaya turut memberi inspirasi dan panduan kepada peserta dalam aspek promosi serta pengurusan perniagaan.

MPS juga telah menjemput penceramah daripada Hijrah Selangor dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memberi pendedahan mengenai sumber peruntukan perniagaan dan kaedah permohonan pendaftaran syarikat.

Turut serta ialah 5 orang pegawai dari Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Majlis Perbandaran Hulu Selangor yang hadir bagi mempelajari kaedah pelaksanaan Kursus Asas Sewaan Premis MPS.

Majlis turut disempurnakan dengan penyampaian sijil kepada peserta yang berjaya melengkapkan kursus, disempurnakan oleh Tuan Ahmad Faisal bin Badiuzaman, Pengarah JPPH.

Penganjuran kursus ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara pihak berkuasa tempatan dengan para penyewa, sekaligus menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan yang lebih tersusun, berdaya tahan dan mampan.

Event Date: 
Selasa, 30 September 2025 - 8:15am