MENU
 
SEMINAR KEHIDUPAN STRATA SEJAHTERA E-COB SIRI 4-2025 ANJURAN MPS

SEMINAR KEHIDUPAN STRATA SEJAHTERA E-COB SIRI 4/2025 ANJURAN MPS

3 September 2025 | Bukit Lagong

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Seminar Kehidupan Strata Sejahtera E-COB Siri 4/2025 bertempat di Dewan Simfoni, Bukit Lagong MPS.

Seminar ini telah dihadiri seramai 31 peserta yang mewakili 31 skim strata dalam kawasan pentadbiran MPS. Peserta terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB/MC), pemilik petak dan pengurus bangunan.

Antara pengisian utama seminar ialah pendedahan mengenai fungsi, tanggungjawab serta tatacara pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi JMB/MC. Selain itu, seminar ini juga bertujuan untuk memberi penerangan terhadap isu keselamatan cerun di kawasan strata, tanda awal kerosakan cerun, serta aspek pengubahsuaian bangunan strata yang merangkumi hak, had, kepatuhan dan implikasi undang-undang.

Seminar ini disampaikan oleh Puan Sr Rosmaliza Binti Osman, Timbalan Pengarah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan MPS; Encik Hyrul Nizam Bin Hamedi dari Jabatan Kejuruteraan, serta Encik Norsalrin Bin Mohd Nor daripada Jabatan Bangunan.

Para peserta juga memberikan komitmen yang baik menerusi sesi soal jawab, aktiviti berkumpulan dan menjawab soalan kefahaman jabatan, sekali gus menunjukkan tahap penglibatan yang baik terutamanya bagi barisan JMB/MC baharu yang dilantik menerajui skim strata.

Majlis Penutup Seminar Kehidupan Strata Sejahtera E-COB Siri 4/2025 telah disempurnakan oleh Puan Nor Shafaliza binti Saharudin, Pengarah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan turut dihadiri oleh pengarah-pengarah jabatan MPS.

Event Date: 
Rabu, 3 September 2025 - 8:00am