MENU
 
PROGRAM `MASIH ADA YANG SAYANG' PERINGKAT MPS 2025

PROGRAM MASIH ADA YANG SAYANG PERINGKAT MPS 2025

4 Oktober 2025 | PAWE Sungai Tua

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menganjurkan Program “Masih Ada Yang Sayang” bersempena Sambutan Hari Warga Emas 2025, bagi meraikan jasa dan sumbangan golongan warga emas dalam komuniti.

Program dimulakan dengan forum bertajuk “Jaringan Prihatin: Membina Sistem Sokongan Penjagaan Warga Emas dalam Kalangan Komuniti” yang menampilkan barisan panel berpengalaman terdiri daripada Dr. Nurul Nabilah binti Rosman, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Selayang Baru; Prof. Madya Dr. Mohd Roslan bin Rosnon, Pensyarah Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM); dan Dr. Lalitha Ambigai a/p Vengidasan, Pakar Perunding Kesihatan Keluarga, Klinik Kesihatan Selayang Baru.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian daripada Setia Kesuma Dance Group sebelum berlangsungnya acara kemuncak iaitu Majlis Perasmian Program yang telah disempurnakan oleh YB Puan Anfaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, diiringi oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS.

Turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik PAWE Sungai Tua, serta acara pemotongan pulut kuning sebagai simbolik sambutan Hari Warga Emas Sedunia.

Di samping itu, YB Puan Anfaal turut menyempurnakan Perasmian Kebun Komuniti PAWE Sungai Tua, yang diusahakan oleh 72 orang ahli PAWE dengan sokongan Ahli Majlis MPS Zon 6. Kebun ini menjadi salah satu inisiatif komuniti dalam memperkukuh semangat kerjasama dan kesejahteraan warga emas di kawasan tersebut.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tuan Muhammad Husaini bin Mohd Yunos, Ahli Majlis MPS JKP Zon 6; Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS; para pengarah jabatan, wakil jabatan dan agensi kerajaan, serta rakan-rakan strategik MPS.

Program ini menjadi wadah memperkukuh jaringan sokongan antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, dan komuniti dalam memastikan kebajikan warga emas terus diberi perhatian, seiring dengan aspirasi menjadikan Selayang sebagai bandar prihatin dan sejahtera untuk semua lapisan masyarakat.

Event Date: 
Sabtu, 4 Oktober 2025 - 10:00am