MENU
 
MAJLIS PERASMIAN SEW AND SAVE ANJURAN MPS

MAJLIS PERASMIAN SEW AND SAVE ANJURAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

22 Julai 2025 | Institut Kraf Negara, Rawang

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) dan Institut Kraf Negara (IKN) telah menganjurkan Program Sew and Save bertempat di Dewan Cindai, Institut Kraf Negara pada 22 Julai 2025.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, dan turut diserikan dengan kehadiran Yang Dihormatkan Dato’ Ir Haji Cheremi Bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak; Dato’ Fully Chye Goet Lee, Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKSM); Encik Shamsul Azizi Bin Samsudin, Pengarah Kanan, Institut Kraf Negara; Puan Nurfaeza binti Othman, Penolong Pegawai Pendidikan Bahagian Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Gombak.

Program Sew and Save merupakan inisiatif julung kali dianjurkan oleh MPS yang bertujuan untuk memupuk kreativiti, membangunkan kemahiran serta menyemai kesedaran terhadap amalan kelestarian dalam kalangan masyarakat melalui pendekatan ‘upcycle’ – iaitu mengubah bahan terpakai menjadi produk baharu yang lebih bernilai. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong gaya hidup lestari, malah memberi peluang kepada peserta untuk meneroka potensi dalam bidang seni jahitan dan kraf.

Pelbagai pengisian menarik telah disediakan sepanjang program, termasuk bengkel jahitan, demonstrasi, pameran serta sesi perkongsian ilmu daripada penggiat industri kreatif yang berpengalaman. Majlis turut diserikan dengan gimik perasmian dan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini.

Hadir sama dalam majlis ini, ketua-ketua WHIP Ahli Majlis MPS, Tuan Montazeri bin Nordin, Ahli Majlis Zon 11 MPS, wakil agensi dan pelajar-pelajar sekolah.

Event Date: 
Selasa, 22 Julai 2025 - 8:45am