Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pelesenan serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta telah menyertai Taklimat Pelaksanaan Program Pasar Patuh 2026 yang diadakan pada 28 Julai 2026 di Pasar Moden MPS, Taman Sri Gombak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Metrology Cawangan Rawang.
Antara pengisian utama program ialah taklimat berkaitan syarat-syarat lesen di bawah bidang kuasa MPS yang telah disampaikan oleh Puan Fatin Nadiah binti Abdul Aziz, wakil Jabatan Pelesenan MPS. Turut diadakan ialah taklimat mengenai pelaksanaan Program Pasar Patuh 2026 oleh wakil KPDN serta taklimat berkaitan keperluan pendaftaran perniagaan dan tanggungjawab peniaga oleh wakil SSM Selangor.
Program ini bertujuan memberi penerangan kepada para peniaga mengenai objektif, kaedah pelaksanaan dan keperluan pematuhan Program Pasar Patuh 2026, di samping meningkatkan kesedaran terhadap pematuhan syarat pelesenan dan perundangan yang berkaitan. Inisiatif ini juga dapat memupuk amalan perniagaan yang beretika, telus dan berintegriti demi melindungi kepentingan pengguna.
Sebelum sesi taklimat berlangsung, KPDN Cawangan Gombak turut mengadakan sesi advokasi kepada para peniaga dengan mengagihkan tag putih, klip harga dan pen penanda bagi pelaksanaan Program Pasar Patuh 2026. Sambutan yang diberikan oleh para peniaga adalah amat menggalakkan dengan penggantian tag harga sedia ada kepada tag Pasar Patuh.