Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah menganjurkan Seminar Kehidupan Strata Sejahtera Siri 2/2026 bertempat di Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong dengan penglibatan 25 skim badan pengurusan (JMB/MC) sekitar kawasan pentadbiran MPS.
Seminar ini turut dihadiri oleh Ahli Majlis MPS iaitu Puan Nooraimi Hani binti Ahmad Suhaimi (Zon 5), Puan Ruhanah binti Masruki (Zon 4) dan Puan Siti Noor Suhaida binti Mohd Sufiee (Zon 9).
Pelbagai pengisian dan perkongsian telah disampaikan oleh penceramah daripada Jabatan COB, Jabatan Bangunan serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPK) berkaitan pengurusan strata yang lebih sistematik, selamat dan berkesan.
Antara topik yang dibincangkan termasuk tatacara pelaksanaan Mesyuarat AGM/EGM, saluran aduan serta tindakan dan respon pihak berkuasa tempatan (PBT), aspek keselamatan bangunan, pematuhan undang-undang bangunan, pengurusan sisa pepejal, kawalan anjing berlesen serta tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan lazim di kawasan strata.
Penganjuran seminar ini diharap dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran badan pengurusan strata dalam melaksanakan tanggungjawab secara lebih efisien di samping memperkukuhkan kerjasama antara JMB/MC dan PBT demi mewujudkan persekitaran komuniti strata yang lebih sejahtera, bersih dan selamat.