Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Penguat Kuasa dan Keselamatan dengan kerjasama Unit Integriti MPS telah menganjurkan Program Ceramah Integriti bersempena Sambutan Bulan Penguat Kuasa Ke-44 MPS. Program ini merupakan antara inisiatif MPS dalam memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam kalangan warga penguat kuasa.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS. Program ini turut menghimpunkan seramai 153 orang kakitangan Jabatan Penguat Kuasa dan Keselamatan MPS.
Ceramah telah disampaikan oleh Tuan Penguasa Firdaus bin Umar @ Adli, Pegawai Cawangan Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor. Sesi perkongsian yang memfokuskan kepada topik integriti penjawat awam ini memberi pendedahan mengenai kepentingan membudayakan integriti, mengamalkan tadbir urus yang baik serta melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Turut hadir, YBrs. Puan Sr. Norshima binti Norzlan, Pengarah Jabatan Penguat Kuasa & Keselamatan MPS dan Encik Rozaihan bin Ramli, Ketua Bahagian Unit Integriti.
Program ini diharap dapat terus meningkatkan kesedaran dan penghayatan warga penguat kuasa terhadap kepentingan integriti sebagai asas dalam melaksanakan tugas dengan beretika, telus dan beramanah demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.