Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan Operasi Penguatkuasaan di sekitar kawasan dan di dalam Pasar MPS Bandar Country Homes (BCH), Rawang bagi membanteras aktiviti perniagaan tanpa kebenaran serta kesalahan yang menghalang laluan awam, bahu jalan, petak parkir dan melibatkan penyewa yang tidak memiliki lesen yang sah.
Operasi yang diketuai oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) MPS ini turut melibatkan Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan (JPK) serta Jabatan Pelesenan. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan antaranya menjalankan perniagaan tanpa lesen, peniaga tidak berada di premis semasa pemeriksaan dijalankan, serta gagal mempamerkan lesen perniagaan.
Sepanjang operasi dijalankan, Jabatan Pelesenan telah mengeluarkan lapan kompaun melibatkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007 dan peruntukan berkaitan, selain mengambil tindakan menarik dan menggantung dua (2) lesen serta mengeluarkan tiga (3) notis penutupan premis.
Dalam masa yang sama, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan telah mengeluarkan sebanyak 15 inventori sitaan membabitkan pelbagai barangan dan peralatan perniagaan termasuk dua (2) buah lori, khemah, meja, kerusi, payung berniaga, troli, tong ais, pakaian, aksesori wanita serta pelbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga.
Turut hadir menjayakan operasi ialah Puan Sr. Fazlin Mariam binti Mustafa, Timbalan Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), Tuan Haji Mohd Syukri bin Abdullah Zawawi, Pengarah Jabatan Pelesenan, bersama pegawai-pegawai daripada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan serta Jabatan Pelesenan.
MPS akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi undang-undang yang ditetapkan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang teratur, selamat dan kondusif demi kesejahteraan masyarakat.