Mesyuarat Kajian Semula Pencapaian Sasaran Kerja Utama (SKU) Tahun 2026 Bil. 2/2026 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), anjuran Jabatan Khidmat Pengurusan, sedang berlangsung di Hotel Dorsett Grand Subang, Selangor dari 29 hingga 31 Julai 2026.
Mesyuarat ini memberi fokus kepada penelitian tahap pencapaian projek perbandaran dan penyampaian perkhidmatan awam melibatkan 21 jabatan di MPS bagi separuh tahun pertama 2026. Selain itu, pelbagai strategi turut diperhalusi bagi mengenal pasti kelemahan dan cabaran, seterusnya merangka tindakan susulan yang lebih proaktif dan berkesan bagi baki separuh tahun kedua 2026. Usaha ini penting untuk memastikan semua jabatan terus beroperasi secara tersusun dan bersepadu ke arah merealisasikan visi dan misi MPS, selaras dengan dasar utama Majlis iaitu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Rancangan Selangor Kedua (RS-2), Inisiatif Bandar Pintar serta MPS ke Arah Bandaraya 2030.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, dan turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS, Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS serta para Pengarah Jabatan MPS.
Memasuki hari kedua mesyuarat, sebanyak 27 pindaan Sub SKU melibatkan sasaran baharu telah dicadangkan, selain 10 penambahbaikan, pewujudan tiga Sub SKU baharu, satu pindaan kaedah pengukuran serta satu Sub SKU digugurkan.
Kajian semula ini menjadi platform penting untuk memperkukuh perancangan dan pelaksanaan SKU agar lebih berkesan. Pada masa sama, komitmen berterusan semua jabatan dalam menyampaikan perkhidmatan yang telus, cekap dan mesra rakyat terus diperkukuhkan demi kesejahteraan warga Selayang serta pembangunan perbandaran yang lebih inklusif.