603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

MALAM APRESIASI MPS 2025 “KOMITMEN DIHARGAI DEMI MENCIPTA LEGASI UNGGUL”

MALAM APRESIASI MPS 2025 “KOMITMEN DIHARGAI DEMI MENCIPTA LEGASI UNGGUL”

Malam Apresiasi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 2025 telah berlangsung dengan penuh gemilang bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC), Selayang. Program anjuran bersama Majlis Perbandaran Selayang dan Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) MPS ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja MPS atas komitmen dan sumbangan berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab perkhidmatan kepada masyarakat.

Majlis ini dianjurkan bertujuan memperkukuh silaturahim, memupuk semangat perpaduan serta menghargai dedikasi kakitangan MPS selaras dengan tema “Komitmen Dihargai Demi Mencipta Legasi Unggul”. 

Kehadiran kira-kira 600 orang kakitangan dan tetamu turut menyerlahkan lagi kemeriahan majlis, dengan penampilan tema pakaian “Denim & White” yang mewujudkan suasana santai namun elegan sepanjang program berlangsung.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS; YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak; YBrs. Tuan Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; Ketua Whip Tuan Haji Sulaiman bin Abu Samah serta Tuan K. Thanabal a/l Krishnan; Ahli-ahli Majlis MPS, dan barisan pengarah jabatan dalaman MPS.

Pelbagai acara menarik telah diadakan sepanjang malam termasuk cabutan bertuah, pertandingan pakaian terbaik serta persembahan artis jemputan iaitu Siti Nordiana dan Sentuhan Buskers yang berjaya menghiburkan para hadirin. Penganjuran Malam Apresiasi ini diharapkan dapat terus menjadi platform menghargai warga kerja MPS serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam mendukung aspirasi organisasi.

MAJLIS APRESIASI MPS 2025