Majlis Apresiasi Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sesi 2024/2025 telah berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dan disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor.
Majlis anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para Penggerak Belia Selangor atas sumbangan serta peranan aktif mereka dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan belia di peringkat akar umbi. Bagi sesi 2024/2025, seramai 288 orang Penggerak Belia Selangor telah dilantik dan digerakkan di peringkat zon melibatkan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Majlis turut menyaksikan penyampaian tujuh kategori Anugerah Penggerak Belia Selangor Sesi 2024/2025 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, dedikasi dan komitmen berterusan para penerima anugerah dalam memperkasa komuniti belia selaras dengan aspirasi pembangunan Negeri Selangor.
Turut hadir, YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang telah menerima Anugerah Penghargaan Pihak Berkuasa Tempatan atas komitmen dan sokongan berterusan dalam memperkasa pembangunan belia di peringkat tempatan.