MENU
 

Bersempena dengan Program Zon Bersih yang sedang giat dijalankan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan mengadakanProgram Pelancaran Pusat Kitar Semula di Pusat Kitar Semula Taman Sri Melati pada 28 September 2013 bermula dari 7.00 pagi hingga 2.00 petang. Program ini akan dirasmikan oleh Y.B. Tuan William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Selayang.

Objektif utama program ini diadakan adalah untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam zon bersih dan kitar semula, selain menyebarkan informasi dan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam amalan kitar semula.

Antara aktiviti yang bakal diadakan pada program ini adalah Pertandingan Mengumpul Barangan Kitar Semula, Pertandingan Rekacipta Barang Kitar Semula dan Kejohanan Street Soccer Komuniti Zon Bersih 2013. Aktiviti Pameran Barang Kitar Semula dari Tzu Chi Foundation, Pameran dan Pemeriksaan Kesihatan, dan Pengumpulan Barangan Kitar Semula dari Penduduk Setempat akan turut diadakan.

Program Pelancaran Pusat Kitar Semula ini diadakan dengan kerjasama SK Selayang Jaya, SK Selayang Utama, JKP Zon 2, Pejabat Polis Daerah Gombak dan Pejabat Kesihatan Gombak. Program ini juga bakal disertai badan NGO serta wakil Swasta seperti Tzu Chi Foundation, Selayang Mall, Pasaraya Mydin, dan Pasaraya NSK.

Orang Ramai adalah dijemput hadir untuk bersama-sama menyertai dan memeriahkan program ini. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Jabatan Korporat MPS di 03-6128 5800.