MENU
 
MPS ARAH TUTUP SERTA MERTA KANDANG TERNAKAN AYAM HARAM

MPS ARAH TUTUP SERTA MERTA KANDANG TERNAKAN AYAM HARAM

Sebuah perniagaan ayam telah dikenakan tindakan sita kerana didapati beroperasi tanpa lesen dalam satu operasi bersepadu yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 14 Mac 2025 (Jumaat) di Kampung Sungai Bakau, Jalan Batu Arang di Rawang.

Operasi bersepadu MPS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Daerah Gombak dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Daerah Gombak telah mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan dua kompaun, satu notis penutupan, dan sitaan terhadap premis tersebut.

Tindakan notis sitaan dikeluarkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan kompaun dibawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan, Seksyen 3(1) kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen MPS.

Premis juga diarahkan untuk tutup serta merta dan diarahkan untuk berpindah serta mengosongkan premis dengan kadar segera memandangkan lokasi tersebut tidak sesuai untuk dijadikan aktiviti peniagaan iaitu berdekatan dengan kawasan kediaman yang boleh menyebabkan kacau ganggu bau busuk di sekitar kejiranan tersebut.

Dalam operasi yang sama, satu kilang yang beroperasi sebagai pusat penyembelihan ayam di lokasi tersebut turut diperiksa dan hasil penemuan mendapati premis itu telah melanggar beberapa syarat yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

Kilang berkenaan beroperasi menggunakan lesen sementara yang dikeluarkan MPS. Namun begitu, kilang tersebut didapati telah melepaskan efluan terus ke dalam longkang. Juga didapati bahawa pekerja premis tidak mengambil suntikan typhoid. Sehubungan itu, MPS mengeluarkan dua kompaun dan satu notis penutupan.

Kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan, Seksyen 20 dan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan, Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan, Seksyen 9 (f). Lesen sementara kilang itu turut ditarik dan digantung dalam sistem lesen dan diarahkan tutup serta merta sehingga Notis Pematuhan Syarat Lesen Perniagaan MPS dipatuhi.

Sementara itu, pihak JAS telah mengambil tindakan sitaan kelengkapan yang melibatkan penghasilan efluen sehingga sistem rawatan kawalan efluen premis tersebut beroperasi semula. Persampelan juga turut diambil daripada punca aktiviti penyembelihan yang menghasilkan efluen dan akan dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.

Selain itu, pemeriksaan pihak JAIS mendapati kilang tersebut tidak memperbaharui Sijil Pertaulihan Penyembelihan. Kaedah penyembelihan yang dilakukan juga tidak menerapkan sifat ehsan terhadap binatang. Demikian itu, JAIS mengeluarkan notis pematuhan syarat kepada pemilik premis yang perlu dipatuhi dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh 14 Mac 2025.

Operasi bersepadu ini telah diketuai Unit Kawalan Mutu Makanan dan Sanitasi, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS, dan disertai Jabatan Pelesenan serta bersama-sama 30 anggota dalaman MPS, JAS dan JAIS. Operasi yang dimulakan pada pukul 10.30 malam dan berakhir pada pukul 2.00 pagi pada 15 Mac 2025 (Sabtu) tanpa sebarang halangan atau provokasi daripada pemilik premis dan orang awam.

MPS mengambil berat mengenai isu ternakan haiwan serta pusat penyembelihan dan akan terus menjalankan pemantauan secara berkala untuk membanteras aktiviti haram ini. Pemilik premis diingatkan untuk mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan, atau tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa.

Event Date: 
Friday, 14 March 2025 - 9:45am