PEMAKLUMAN TASK FORCE KILANG TANPA KEBENARAN (KTK) DI KAWASAN PENTADBIRAN PERBANDARAN SELAYANG
Seperti semua sedia maklum, MPS telah menjalankan task force kilang tanpa kebenaran bermula tahun lepas bagi melaksanakan program pemutihan dan langkah-langkah yang bersesuaian untuk menghapuskan kilang tanpa kebenaran (KTK). Sehingga kini, MPS telah membuat bancian bagi program pemutihan ke atas premis- premis di seluruh kawasan pentadbiran Selayang dengan jumlah sebanyak 1,513 premis. Daripada jumlah tersebut, hanya 30% sahaja daripada kilang-kilang berkenaan telah mengemukakan maklum balas untuk pengemaskinian data.
- MPS menganggarkan sebanyak 50% borang pengesahan program pematuhan syarat teknikal dan penguatkuasaan kilang tanpa kebenaran akan dikeluarkan sebelum bulan September ini.
- MPS akan meneruskan kajian bagi kawasan yang belum dibanci dengan cara melantik perunding bagi menyelesaikan baki kilang tanpa kebenaran yang dianggarkan sebanyak 500 premis lagi.
AKTIVITI PEMANTAUAN SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD)
- Saya juga ingin berkongsi berkenaan aktiviti dan statistik pemantauan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 13 Julai sehingga 23 Julai 2021. Untuk makluman, sebanyak 420 premis dan 9 penjaja telah dilawat dan sebanyak 67 premis telah diperiksa. Sepanjang 11 hari aktiviti pemantauan dijalankan, sebanyak 4 notis telah dikeluarkan, 6 kompaun telah diberikan dan 1 premis telah diarahkan untuk ditutup. Sebanyak 55 amaran lisan juga telah diberikan kepada para peniaga untuk mematuhi SOP PKP yang telah digariskan.
- Untuk makluman semua, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ini telah kita jalankan di semua pasar-pasar awam, bengkel kenderaan, kawasan-kawasan awam, premis perniagaan, penjaja, badan pengurusan bersama JMB/MC di seluruh pentadbiran perbandaran Selayang dan di kilang-kilang. Sepanjang pemantauan dijalankan, MPS telah mengenalpasti kilang-kilang yang beroperasi telah mendapat surat kelulusan daripada pihak MITI untuk beroperasi.
- Walaubagaimanapun, MPS dari masa ke semasa akan terus membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan rantaian pandemik Covid-19 dapat diputuskan di kawasan pentadbiran perbandaran Selayang.
AMALAN PENJARAKAN SOSIAL
- Memandangkan jumlah kes jangkitan Covid-19 kian meningkat setiap hari, ingin saya ingatkan kepada semua untuk sentiasa mengamalkan disiplin kendiri yang tinggi, elakkan tempat yang sesak, jaga penjarakan fizikal, bersihkan tangan pada setiap masa, mengamalkan kebersihan kendiri yang baik dan digalakkan untuk memakai pelitup muka berganda (double face mask) bagi mengurangkan risiko kepada pendedahan virus.
- Saya berharap kita semua dapat menyokong usaha dan langkah- langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan memerangi wabak Covid-19 ini dengan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.
UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA LT.KOL.(B) HJ. AZMI BIN ISMAIL, PENGARAH PENGUATKUASA DAN KESELAMATAN MPS
- Sebelum mengakhiri ucapan pada pagi ini, saya juga ingin memaklumkan, Yang Berusaha Lt.Kol.(B) Hj.Azmi bin Ismail, Pengarah Penguatkuasa dan Keselamatan MPS akan bersara dan menamatkan perkhidmatan beliau pada 29 Julai 2021 iaitu pada hari Khamis ini.
- Justeru, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas khidmat bakti beliau selama hampir dua belas tahun berkhidmat dalam membantu memajukan MPS. Sesungguhnya, saya dan warga MPS amat menghargai jasa tuan. Semoga Tuan Hj Azmi dikurniakan kesihatan yang baik dan selamat maju jaya diucapkan. InshaAllah panjang umur, kita akan berjumpa lagi...
Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh